Google
 

MERTUA - Sayanginya atau...


Komunikasi
Sering kita mendengar keluhan pasangan muda mengenai masalah bersama mertua. Memang tidak dinafikan bahawa masalah mungkin akan berlaku antara mertua & menantu.

Adakah ini berpunca dari masalah berkomunikasi?
Adakah kita mempunyai masalah penyesuaian diri & suasana?
Mungkin kita tidak tahu mengambil hati mertua?
Mungkin kerana sudah jadi mertua kita ambil leka dan tidak tahu melayan mertua?
Mungkinkah ini cuma suatu cabaran & dugaan?

Yang sebenarnya, sebagaimana kita boleh & berjaya mengambil hati pasangan kita, kita juga boleh mengambil & menjaga hati mertua. Kita cuma perlu berikan sedikit masa dan usah berkecil hati dan belajar bersenyum walaupun terasa kecewa.

Tumpukan perhatian perasaan cinta dan kasih sayang pada pasangan kita. Buatlah sedaya-upaya untuk mendapat kepercayaan mertua. Setiap percakapan & perbuatan yang hendak dilakukan haruslah difikirkan sekejap sebelum dilakukan. Kita hendaklah dapat mengagak reaksi mertua sebelum percakapan & perbuatan dilakukan.

Kesilapan
Layani mertua seperti melayani ibu-bapa sendiri. - Ini mungkin adalah satu faktor yang kurang tepat.

Kesilapan kita ialah kita selalu membuat andaian bahawa layanan kepada mertua adalah sama seperti layanan yang diberikan kepada ibu-bapa kita. Harus diingat bahawa ibu-bapa kita sudah masak dengan perangai kita, jadi ibu-bapa kita mungkin tidak begitu kisah sangat.

Seperti teman yang sensitif, mertua harus dilayani dengan cara yang tersendiri supaya tidaklah mereka merajuk atau tidak senang dengan kehadiran kita. Bos di tempat kerja mungkin telah mengetahui keupayaan kita, jadi dengan mertua, kita hendaklah menunjuk keupayaan kita kepada mereka menerusi percakapan & perbuatan kita.

Adanya masalah antara kita dengan mertua mungkin adalah kerana jarak usia dan cara pemikiran tidak sama. Kerana usia mereka, jadi susahlah untuk mereka mengubah cara mereka. Atau mungkinkah generasi kita memang kurang kesabaran?

Kita yang muda haruslah bersabar, mengalah & bertimbang-rasa.

Teguran & Pertanyaan
Kadang-kala, dengan berdiam-diri, sesuatu masalah itu dapat juga diatasi. Dalam sesuatu masalah, kita tidak semestinya memberi buah fikiran. Yang penting, jika kita bersetuju dengan pendapat mereka, hendaklah kita menyuarakan sokongan kita terhadap mereka. Jika terdapat yang salah tetapi tidak mempunyai kesan sangat, sebaiknya kita berdiam sahaja.

Sekiranya ada perkara yang kita berkeras tidak bersetuju dan ia akan memberikan kesan kepada banyak perkara, beritahulah kepada pasangan kita supaya pasangan kita yang membuat percakapan kepada ibu-bapa dia sendiri.

Harus diingati bahawa, teguran & pertanyaan ada kelainannya. Sekiranya kita ternampak atau terdengar sesuatu yang tidak betul, janganlah ditegur kerana teguran tidak selalu diterima dengan hati yang positif. Sebaiknya, lakukannya dengan sebuah pertanyaan. Dengan bertanya, ia seolah memberi hormat kepada mereka dalam menangani sesuatu masalah.

Emosi
Sekiranya kita ingin melepaskan geram dengan pasangan kita, lakukannya didalam bilik dan bukan didepan mertua. Emosi kita harus dijaga. Kalau didepan pasangan kita, boleh lah kita menunjukkan emosi kita tetapi kalau didepan mertua, ia perlu dikawal. Biarlah seperti pijak semut tidak mati.

Pergaulan dengan mertua adalah seperti satu seni yang perlu dipertingkatkan. Apa-apa sahaja yang boleh digunakan, gunakanlah untuk mempertingkatkan hubungan antara kita dan mertua kita.

Rapatkan Hubungan
Seringlah berhubung dengan mertua dan bertanya khabar. Sekiranya kita tidak berkesempatan untuk berjumpa, cuba luangkan masa untuk menelefon.

Memberi tanda ingatan menerusi hadiah adalah salah satu untuk mempereratkan hubungan bersama mertua. Tidak lupa untuk menziarahi ahli keluarga mertua, sekiranya kita menerima khabar bahawa mereka sedang sakit.

Akan adanya undangan dari pihak mertua, dari itu, berusahalah untuk memenuhinya. Ini juga dapat mempereratkan hubungan sesama keluarga.

Iringilah doa yang ikhlas untuk kesejahtaraan mertua sebagai penghargaan terhadap mereka. Bantuan kepada mereka sekiranya kita berkemampuan akan menunjukan kasih sayang kita terhadap mertua.


Untuk khidmat Fotografi Perkahwinan
Lawat
http://zoomer.fotopages.com/

Sindir-Sindir Sayang



masa bercinta
engkau suka aku pun suka
kemana pergi pun tak apa
yang penting jalan berdua
naik bas pun takpa
jalan tengah panas pun takpa
sampai melecet ketiak jadinya
semua suka tiada duka

masa engkau suka
aku pun suka
tapi yg engkau suka aku pun suka
walaupun sebenarnya tak berapa suka
petai yg engkau suka,
aku pun telan juga
walaupun nak terjegil biji mata
kita sama-sama ketawa

masa engkau suka
aku pun suka
Tempe yg aku makan jadi kegemaran kau juga
walaupun kau tak pernah makan sebelumnya

masa engkau suka
aku pun suka
pakai apa pun tak pe
baju merah tudung biru pun tak ape
tudung kau senget aku kata takpe
gigi kena lipstik aku tak kisah juga
engkau tetap cantik jelita

masa engkau suka
aku pun suka
aku pakai apapun tak ape,
lupa pakai tali pinggang pun tak ape,
T shirt koyak kat ketiak pun tak ape,
Lupa cukur misai pun tak ape,
Kau kata aku tetap handsome seadanya.

baru kahwin,
kau sangat suka,
aku lagilah suka
macam dunia kita yg punya
dua minggu terperap dalam bilik aje
sampai makan pun selalu terlupa

kau sangat suka,
aku lagilah suka
tiga empat papan petai sehari aku tak pernah lupa
kau sangat suka,
aku lagilah suka
hari-hari tiga empat pinggan tempe kau goreng
utk aku saja

bila anak dua
lain pulak cerita,

kau suka aku tak suka,
aku suka engkau tak suka
sebab petai yg engkau suka
aku sangat tak suka
mana taknya,
bilik air jadi hancing jadinya
mungkin salah aku juga
manjakan engkau sangat dengan petai saja

kau suka aku tak suka,
aku suka engkau tak suka
sebab hari-hari aku nak tempe aje
sampai kau jemu menggoreng jadinya
mulalah komplen aku anak jawa
sendawa pun bau tempe aje,
tapi salah kau juga
kau tak pandai nak masak yang lainnya.

sampai sekarang ni aku pun tertanya-tanya
suka ke tak suka?...


Diambil dari : Pengantin.Com

Untuk khidmat Fotografi Perkahwinan
Lawat

10 Soalan Yang Perlu Ditanya Kepada Jurugambar atau Juruvideo Anda


Soalan Yang Anda Perlu Tanya Kepada Jurugambar Atau Juruvideo Anda

-Seperti yang tersiar di dalam majalah Pesona Pengantin
-Oleh: Hasnuddin Abu Samah

Soalan 1
Berapa lamakah pengalaman anda dalam bidang fotografi perkahwinan?
Pengalaman adalah faktor penting bagi mengukur tahap kemahiran seseorang jurugambar. Jurugambar yang kurang berpengalaman biasanya mengenakan harga yang lebih rendah.

Soalan 2
Adakah anda merakam gambar perkahwinan secara sambilan atau sepenuh masa?
Soalan ini adalah bagi menganggar tahap komitmen seseorang jurugambar. Biasanya, jurugambar yang melakukan tugas merakam gambar perkahwinan secara sepenuh masa akan memberikan komitmen yang tinggi memandangkan ini adalah satu-satunya punca pendapatan mereka. Namun, keadaan sebaliknya mungkin juga berlaku.

Soalan 3
Adakah anda menggunakan peralatan digital atau analog?
Teknologi terkini memperlihatkan penggunaan peralatan fotografi dan video digital. Tetapi, penggunaan sistem analog juga mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Terpulang kepada citarasa anda.

Soalan 4
Bolehkah saya lihat contoh hasil kerja anda?
Ini adalah antara soalan yang paling penting untuk memilih jurugambar atau juruvideo. Dengan melihat contoh gambar beliau, anda mendapat gambaran yang lebih jelas tentang apa yang akan anda perolehi. Cuma, pastikan gambar yang ditunjukkan adalah hasil kerja beliau yang tulen.

Soalan 5
Apakah gaya fotografi atau videografi anda?
Setiap karya jurugambar atau juruvideo mempunyai gaya mereka yang tersendiri. Begitu juga dengan pasangan pengantin yang mempunyai citarasa yang berbeza terhadap gambar. Pilih jurugambar yang boleh merakam gambar mengikut citarasa anda.

Soalan 6
Berapakah harga yang anda kenakan untuk perkhidmatan anda?
Harga yang dikenakan perlulah sesuai dengan bajet anda. Nilai samada harga yang dikenakan berbaloi dengan perkhidmatan yang akan anda perolehi. Sekiranya perlu, runding harga dengan jurugambar anda.

Soalan 7
Adakah apa-apa syarat lain atau bayaran tambahan yang akan dikenakan?
Tanya soalan ini untuk mengelakkan salah faham dan ketidakpuasan hati di kemudian hari. Ini kerana setiap orang jurugambar mempunyai syarat kerja dan syarat harga yang tersendiri.

Soalan 8
Berapa lamakah masa yang diambil untuk menyiapkan gambar?
Nyatakan kepada jurugambar sekiranya anda amat memerlukan gambar anda disiapkan segera. Ini bagi membolehkan jurugambar anda merancang masa beliau sendiri. Sekiranya tidak perlu, beri masa yang mencukupi kepada jurugambar anda untuk menyiapkan gambar anda tanpa perlu tergesa-gesa.

Soalan 9
Dalam bentuk apakah gambar siap akan diberi?
Gambar foto biasanya dicetak ke saiz 4R dan gambar video akan diberi dalam format VCD atau DVD. Maklumkan kepada jurugambar atau juruvideo anda sekiranya anda memerlukan bentuk lain.

Soalan 10
Adakah negatif atau imej asal akan diberi?
Imej asal foto biasanya adalah dalam bentuk negatif bagi kamera analog dan fail jpeg bagi kamera digital. Manakala imej asal video adalah dalam bentuk pita video. Imej asal ini penting sekiranya anda ingin mencetak atau menyunting kembali gambar perkahwinan anda di kemudian hari. Ada jurugambar yang memberi imej asal secara percuma dan ada yang akan mengenakan bayaran.

Untuk khidmat Fotografi Perkahwinan
Lawat
http://zoomer.fotopages.com/

8 Perkara Dibenci Suami



Menempoh alam perkahwinan tidaklah seindah semasa berada alam percintaan. Masa bercinta, apa yang dilakukan oleh pasangan semuanya baik-baik belaka. Bak kata pepatah ‘pijak semut pun tak mati’. Apabila masuk gerbang perkahwinan, barulah tahu perangai atau tingkahlaku pasangan masing-masing. Beberapa panduan yang diberikan oleh Dr Fadillah Kamsah kepada isteri-isteri untuk memenangi hati suami agar rumah tangga sentiasa bahagia dan penuh dengan perasaan kasih dan sayang.

CABAR
Lelaki mempunyai ego tersendiri. Mereka pantang dicabar terutamanya oleh wanita, apatah lagi oleh isterinya. Sebagai wanita dan isteri, anda perlu membataskan tindak tanduk agar suami tidak merasa tercabar. Sesetengah isteri apabila bergaduh dengan suami, kata-kata seperti ‘kalau awak berani, cubalah cari perempuan lain’. Ingat, kadang-kadang ayat ini boleh membuatkan suami tercabar. Jika suami anda betul-betul melakukan, siapa yang akan putih mata.

CABUL
Ini bermaksud keji dari segi perangai isteri yang langsung tiada perasaan malu. Contohnya, bergaul bebas dengan lelaki yang bukan muhrim tanpa menghiraukan batas-batas pergaulan. Apatah lagi, jika anda mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan dan tidak baik kepada suami sendiri mahupun mertua.

CEMBURU
Sifat ini perlu ada dalam sesuatu hubungan. Tetapi, wanita atau isteri yang terlampau cemburu sehingga pasangannya merasa terkongkong akan membawa padah kepada perhubungan mereka. Jangan biarkan suami anda merasa mereka tidak dipercayai.

CEREWET
‘Kerana mulut, hati binasa’. Wanita atau isteri perlu bijak mengawal perasaan dalam percakapannya. Suami tidak suka apabila isteri cerewet tidak kena pada tempatnya. Contohnya, apabila keluar makan bersama suami, isteri mahukan tempat yang menarik dan makanan yang mahal. Mungkin tidak perlu semua itu, asalkan anda berdua menghabiskan suasana yang romantik dan menyelami perasaan masing-masing.

CELUPAR
Cantik hanya di luaran sahaja. Wanita atau isteri yang cantik akan kelihatan hodoh, jika mulutnya celupar. Adalah tidak patut dengan mengeluarkan kata-kata yang kurang manis atau terlepas cakap kepada suami. Jangan membuatkan suami berjauh hati dengan anda.

COMOT
Ada wanita atau isteri cantik tetapi sebenarnya comot. Comot bukan hanya melibatkan wajah seseorang itu tetapi juga dilihat dari segi penampilan yang selekeh, kerja yang telah dilakukan dan tindak tanduknya. Contohnya, hanya bersolek ketika hendak keluar rumah tetapi apabila berada di rumah, langsung tiada persiapan diri. Ingat, ada isteri beranggapan bersolek untuk suami tetapi di rumah tidak dipraktikkan.

CINCAI
Suami paling tidak suka apabila isteri membuat kerja rumah sambil lewa ataupun ‘cincai’. Jaga makan, minum adalah satu keutamaan untuk suami. Menurut Dr Fadillah Kamsah, suami paling benci apabila isteri sambil cincai menjaga anak. ‘Anak dah masuk longkang tapi isteri masih melepak di depan televisyen’.

CUAI
Kebiasaan, lelaki atau suami tidak suka jika pasangannya cuai terutamanya ia melibatkan masa. Contohnya, apabila ingin keluar bersama-sama, suami terpaksa menunggu masa yang lama kerana isteri masih lagi bersiap, bersolek dan mengemas. Situasi ini akan menimbulkan kemarahan dan kebencian kepada suami.

Untuk khidmat Fotografi Perkahwinan
Lawat

Membuat Kotak Coklat/Gula-Gula

Kebelakangan ini, ramai bakal pengantin yang cuba menukar tradisi pemberian bunga telur kepada tetamu yang hadir. Bagi mereka yang inginkan kelainan, bolehlah cuba membuat kotak coklat atau gula-gula ini, sebagai alternatifnya. Bakal pengantin yang menghasilkan sendiri cenderahati ini, pasti akan berasa puas kerana dapat menghadiahkan sesuatu yang istimewa kepada tetamunya.

Bahan-bahan yang diperlukan :
1) Kertas keras bewarna (dipotong segiempat sama)
2) Gam
3) Gunting
4) Ribon
5) Renda
6) Bunga kain
7) Gula-gula / coklat

Cara Membuat
1 Lipatkan setiap bucu ke dalam, seperti contoh.
2 Potong sedikit (1cm) di bahagian tepi kiri dan kanan kertas.
3 Keluarkan bucu tepi kiri dan kanan.
4 Lipatkan bahagian yang telah dipotong tadi ke bahagian dalam. Lipatkan semula bucu yang dikeluarkan tadi bagi membentuk kotak.
5 Ulangi langkah 1-4 untuk bahagian bawah kotak pula.
6 Sebagai hiasan, lekatkan ribon di sebelah bucu atas kiri / kanan.
7 Hiaskan kelilingnya dengan renda.
8 Lekatkan bunga kain di atas kotak.
9 Masukkan beberapa biji gula-gula / coklat ke dalam kotak.

Selamat mencuba!

Airmata Di Malam Pertama

Sebuah Cerpen Mengharukan
Tulisan Nurulhuda Mustafa

Hatiku bercampur baur antara kegembiraan, kesedihan dan kehibaan. Terlalu sukar untuk kugambarkan perasaan hatiku tatkala ini. Sanak saudara duduk mengelilingiku sambil memerhatikan gerak geri seorang lelaki yang berhadapan dengan bapaku serta tuan imam.

Hari ini adalah hari yang cukup bermakna bagi diriku. Aku akan diijab kabulkan dengan seorang lelaki yang tidak pernak kukenali pilihan keluarga. Aku pasrah.

Semoga dengan pilihan keluarga ini beserta dengan rahmat Tuhan. Bakal suamiku itu kelihatan tenang mengadap bapaku, bakal bapa mentuanya. Mereka berkata sesuatu yang aku tidak dapat mendengar butir bicaranya. Kemudian beberapa orang mengangguk-angguk. Serentak dengan itu, para hadirin mengangkat tangan mengaminkan doa yang dibacakan lelaki itu. "Ana dah jadi isteri! " Bisik sepupuku sewaktu aku menadah tangan. Tidak semena-mena beberapa titis air mata gugur keribaanku. Terselit juga hiba walaupun aku amat gembira. Hiba oleh kerana aku sudah menjadi tanggungjawab suamiku. Keluarga sudah melepaskan tanggungjawab mereka kepada suamiku tatkala ijab kabul.

"Ya Allah! Bahagiakanlah hidup kami. Kurniakanlah kami zuriat-zuriat yang menjadi cahaya mata dan penyeri hidup kami nanti."Doaku perlahan. Aku bertafakur sejenak. Memikirkan statusku sekarang. Aku suadh bergelar isteri. Sudah tentu banyak tanggungjawab yang perlu aku tunaikan pada suamiku dan pada keluarga yang aku dan suamiku bina nanti.
"Mampukah aku memikul tanggungjawab ini nanti"Tiba-tiba sahaja soalan itu berdetik di hati. Kadang-kadang aku rasakan seolah-olah aku tidak dapat melaksanakan tanggungjawab seorang isteri terhadap suami.

"Assalamualaikum!" Sapa suatu suara yang mematikan tafakur tadi. Baru aku perasan, seorang lelaki berdiri betul-betul di hadapanku. Aku masih tidak mampu untuk mendongak, melihat wajahnya itu. Aku berteleku melihat kakinya.

Sanak saudara yang tadi bersama-samaku, kini membukakan ruang buat lelaki itu mendekatiku. Aku tambah gementar bila dibiarkan sendirian begini. Tanpa kusangka, dia duduk menghadapku. "Sayang"..Serunya perlahan. Suaranya itu seolah membelai dan memujuk jiwaku supaya melihat wajahnya.

Aku memaksa diriku untuk mengangkat muka, melihat wajahnya. Perlahan-lahan dia mencapai tangan kiriku, lalu disarungkan sebentuk cincin emas bertatahkan zamrud kejari manisku. "Abang".. Seruku perlahan sambil bersalam dan mencium tangan lelaki itu yang telah sah menjadi suamiku. "Ana serahkan diri Ana dan seluruh kehidupan Ana kepangkuan abang. Ana harap, abang akan terima Ana seadanya ini seikhlas hati abang.."Bisikku perlahan. " Kita akan sama-sama melayari hidup ini dan akan kita bina keluarga yang bahagia." Janjinya padaku.
Itulah kali pertama aku menemui suamiku itu. Aku tidak pernah melihatnya selain daripada sekeping foto yang telah diberikan emak kepadaku. Kenduri perkahwinan kami diadakan secara sederhana sahaja. Namun meriah dengan kehadiran sanak saudara terdekat dan sahabat handai yang rapat. Senang sikit, tak payah berpenat lelah. Sibuk juga aku dan suamiku melayani para tetamu yang hadir ke majlis itu. Ramai juga teman-teman suamiku yang datang. Mereka mengucapkan tahniah buat kami berdua. Tak sangka, suamiku punyai ramai kawan. Katanya, kawan-kawan sejak dari universiti lagi.

Pada pandanganku, suamiku itu memang seorang yang segak. Berbaju melayu putih sepasang serta bersampin. Aku juga memakai baju pengantin putih. Kami dah berpakat begitu.
Aku selalu berdoa pada Tuhan agar Dia kurniakan padaku seorang suami yang dapat membimbing dan menunjukkan aku jalan ketuhanan. Mengasihi aku sebagai seorang isteri. Tidak kuminta harta mahupun pangkat, cukuplah sekadar aku bahagia bersamanya dan dia juga bahagia denganku. Aku juga sering berdoa agar dikurniakan zuriat yang dapat membahagiakan kami. "Ana, ada perkara penting yang mak dan ayah nak bincangkan dengan Ana".Ayah memulakan mukadimah bicaranya di suatu petang sewaktu kami minum petang di halaman rumah. Mak hanya diam memerhatikan aku, membiarkan ayah yang memulkan bicaranya.
"Apa dia ayah, mak? Macam penting je" Soalku tanpa menaruh sebarang syak wasangka. "Sebenarnya, kami telah menerima satu pinangan bagi pihak Ana." "Apa!!!"Pengkhabaran begitu membuatkan aku benar-benar terkejut. Aku masih belum berfikir untuk mendirikan rumah tangga dalam usia begini. Aku mahu mengejar cita-citaku terlebih dahulu. Aku tidak mahu terikat dengan sebarang tanggungjawab sebagai seorang isteri. "Kenapa ayah dan mak tak bincang dengan Ana dulu?" Soalku agak kecewa dengan keputusan mak dan ayah yang membelakangi aku. Sepatutnya mereka berbincang denganku terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan yang bakal mencorakkan masa depanku.

"Kami tahu apa jawapan yang akan Ana berikan sekiranya kami membincangkan perkara ini dengan Ana. Pastinya Ana akan mengatakan bahawa Ana masih belum bersedia. Sampai bilakah Ana akan berterusan begitu?"Ayah mengemukakan alasannya bertindak demikian.

"Sebagai orang tua, kami amat berharap agar anak kesayangan kami akan mendapat seorang suami yang boleh melindungi dan membimbing Ana. "Ujar mak setelah sekian lama membisu. "Apakah Ana fikir mak dan ayah akan duduk senang melihat anak gadisnya berterusan hidup sendirian tanpa penjagaan dari seorang suami? Kami bukan nak lepaskan tanggungjawab kami sebagai orang tua, tapi itulah tanggungjawab orang tua mencarikan seorang suami yang baik untuk anak gadisnya."Terang ayah lagi. "Ana.." Seru ayah setelah dia melihat aku mendiamkan diri, menahan rasa. "Percayalah, kami membuat keputusan ini adalah untuk kebaikan Ana sebab kami terlalu sayangkan Ana.";

"Ini cincinnya, pakailah." Mak meletakkan satu kotak kecil berbaldu di hadapanku. Perasaanku berbaur. Macam-macam yang datang. Berbelah bagi. Apa yang patut aku lakukan sekarang. Sekiranya aku menerima dan bersetuju dengan keputusan mak dan ayah itu, bermakna aku telah membiarkan cita-citaku semakin kabur dan berbalam di hadapan. Namun kiranya aku menolak, bermakna aku telah melukakan hati kedua-dua orang tuaku itu. Orang tua yang telah banyak berjasa dalam hidupku. Tanpa mereka berdua, aku takkan hadir dan mustahil untuk melihat dunia ini.

"Ahhhhgggg..."Keluhku sendirian. Aku dalam dilemma. Yang manakah patut aku utamakan? Perasaan sendiri atau perasaan dan harapan mak dan ayah. Aku selalu tewas bila melibatkan perasaan mak dan ayah. Aku terlalu takut untuk melukakan hati mereka. Aku takut hidupku nanti tidak diberkati Tuhan.

Azan maghrib yang berkumandang mengejutkan aku dari lamunan. Dah masuk waktu maghrib rupanya. Masih banyak lagi barang-barang yang belum dikemaskan. Penat juga nak kemaskan semua ni.

"Nanti kite kemas lepas ni. Mari solat maghrib dulu." Ujar ayah padaku. Adik-adik sibuk bentangkan tikar dan sejadah di ruang solat. Begitulah selalunya apabila kami berkumpul. Solat berjemaah adalah saru agenda yang tidak boleh dilupakan. Semua orang telah siap sedia menunggu sewaktu aku keluar dari berwudhuk di bilik air. Aku cepat-cepat mengenakan telekung dan memasuki saf bersama emak, kakak dan adik.

Selesai je iqamah, ayah memberikan penghormatan kepada suamiku untuk menjadi imam. Dia kelihatan serba salah dengan permintaan ayah itu. Dia merenung ke arahku. Aku hanya mengangguk sebagai isyarat supaya dia memenuhi permintaan ayah itu. Maka dengan tenang, dia mengangkat takbir. Menjadi imam solat maghrib kami pada malam itu.

Betapa hatiku tenang sekali menjadi makmumnya. Dengan bacaan yang jelas dan merdu itu membuatkan aku berasa kagum dengan suamiku itu. Mungkin tepat pilihan ayah dan mak buatku. Bacaannya lancar lagi fasih. Bagaikan seorang arab yang menjadi imam. "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami terlupa atau tersilap. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kami dengan bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Jangan Engkau pikulkan kepada kami apa-apa yang tidak terdaya kami memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami."

"Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami daripada isteri dan suami serta zuriat keturunan yang boleh menjadi cahaya mata buat kami dan jadikanlah kami daripada golongan orang-orang yang muttaqin." Dia membaca doa dengan khusyuk memohon kepada Tuhan setelah selesai solat. Kami bersalaman. aku mendekati suamiku sambil menghulurkan tangan. "Bang, maafkan Ana!" Bisikku perlahan sewaktu mencium tangannya. Dia kemudiannya mengucupi dahiku sebagai tanda kasih yang tulus. "Sayang tak ada apa-apa salah dengan abang."Ujarnya sambil tersenyum merenung wajahku. Selepas berwirid dan berzikir, dia bangun menuju ke halaman rumah.

"Abang nak kemana tu?"Soalku. "Nak kemaskan barang-barang kat bawah tu. Ada sikit lagi."Jawabnya. "Dah la tu. Rehat jelah. Esok kita boleh sambung lagi."Aku kesian melihatnya, keletihan. "Betul kata Ana tu Zul. Sambung esok sajalah." Sampuk ayah yang tiba-tiba mendengar perbualan kami. Emak pun mengangguk menyetujui sarananku itu.

"Takpelah ayah, Ana. Sikit aje tu. Kejap je saya buatnya." Dia masih berkeras sambil berlalu turun ke halaman rumah untuk mengemas beberapa peralatan yang masih lagi berada di bawah khemah.

Aku menukar pakaian, kemudian keluar membantu suamiku mengemas barang-barang di halaman rumah. Dia kelihatan asyik tanpa menyedari kehadiranku. Semua barang-barang telah dikemasnya. Aku mencapai kain pengelap dan mula mengelap meja. "Bila Ana turun?" Soalnya apabila menyedari aku sedang mengelap meja. " Baru aje. Asyik sangat abang buat kerja sampai tak sedar Ana datang." "Maafkan abang sayang." Dia menghampiriku. "Sayang tak marahkan?" Soalnya lagi sambil memeluk pinggangku erat.

Aku merenungnya, kemudian mengeleng-ngeleng sebagai tanda aku tak ambil hati pun pasal tu. Dia tersenyum sambil menghadiahkan satu ciuman di pipiku. "Ish..abang ni! Nanti dilihat orang, malu kita." Rungkutku tersipu-sipu. Nanti malu juga kalau dilihat oleh ahli keluargaku. "Apa nak malu, kan sayang ni isteri abang."Jawabnya tersenyum. "Tau la, tapi tengok la keadaan dan tempat. Kalau kita berdua saja, lebih dari cium pun Ana bagi." "Betul ni?"Soal suamiku cepat-cepat. "Ish..;gatal la abang ni!" Dia cuba mengelak dari menjadi mangsa cubitan tanganku.

Aku terasa bahagia disayangi begini. Inilah pertama kali dalam hidupku merasai betapa nikmatnya cinta dan kasih sayang seorang kekasih hati yang aku sayangi. Aku tidak pernah terlibat dengan cinta walaupun semasa aku di universiti dulu. Dan pada tika ini, aku akan menikmatinya selepas perkahwinan. Cinta seorang suami terhadap seorang isteri.

Walaupun begitu,masih ada sedikit rasa takut di hatiku. Aku takut aku tidak mampu untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Aku takut aku tidak mampu untuk menjadi seorang isteri yang solehah dan mulia dalam hidup suamiku.

"Apa yang Ana menungkan ni?"Soalan itu mengejutkan aku dari lamunan. Aku berehat sekejap di atas kerusi batu dalam taman di halaman rumah setelah selesai mengemas barang-barang. "Abang ni, terkejut Ana tau!" Aku buat-buat merajuk. Saja nak menduga bagaimana suamiku memujuk.

"Alaa..sayang ni.macam tu pun nak marah." Usiknya sambil mencubit pipiku. "Nampak gayanya terpaksalah abang tidur bawah katil dengan nyamuk-nyamuk malam ni sebab isteri abang dah merajuk. Kesian kat abang yea!" Aku mula tersenyum dengan kata-kata suamiku itu. Pandai juga suamiku buat lawak nak memujuk aku. "Sayang..." Seru suamiku sambil merangkul tubuhku.

"Sayang nak honeymoon kemana?" Tak terfikir pulak akau pasal honeymoon tu. Aku pun tak ada apa-apa plan atau cadangan pasal tu. "Ana ikut aje kemana abang nak bawa." "Kalau abang bawa ke bulan atau bintang, sayang nak ikut ke?" Guraunya. "Banyak ke duit abang nak bayar tambang roket dan nak beli set bajunya nanti?" Soalanku itu membuatkan suamiku pecah ketawa. "Nanti sayang nak berapa orang anak?" Soalnya lagi setelah ketawanya reda. "Abang nak berapa?" Soalku kembali tanpa menjawab soalannya. "Abang nak sebanyak mungkin. Larat ke sayang nanti?"

"Ish...abang ni. Abang ingat Ana ni kilang anak ke?" Sekali lagi suamiku ketawa. Nampaknya dia adalah orang yang mudah ketawa. "Takdelah macam tu. Tapi abang suka kalau kita ada anak yang ramai. Sama banyak lelaki dan perempuan." "Insya Allah, kalau ada rezeki nanti Ana sanggup." Penjelesanku itu membuatkan suamiku tersenyum gembira. "Ni yang buat abang tambah sayang ni." Satu lagi kucupan mesra singgah di pipiku. Aku terasa bahagia diperlakukan begitu. Aku punyai suami yang baik dan penyayang. Aku rasa dilindungi.

"Zul, Ana! Jom kita makan dulu!" Suara mak memanggil. "Mari bang! Ana pun dah lapar ni." Ajakku sambil memimpin tangannya. Kami bangun beriringan masuk ke dalam rumah untuk menghadapi hidangan makan malam. Rasa lapar la juga kerana sejak tadi lagi asyik layan tetamu dan buat kerja aje sampai lupa untuk makan. Seronok sangat dengan kahadiran kawan-kawan rapat serta gembira dianugerahi seorang suami yang baik.

Sudah beberapa hari aku asyik memikirkan pasal pertunanganku. Terlalu sukar untuk aku menerimanya. Tambah lagi dengan lelaki yang tidak pernah kukanali. Perkahwinan bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah. Kehidupan yang memerlukan persefahaman sepanjang hidup. Tanpa persefahaman dan tolak ansur, mustahil dua jiwa dan dua hati boleh bersatu dalam menjalani hidup sebagai suami isteri. Tidak sedikit cerita yang aku dengar tentang rumah tangga yang hanya mampu betahan buat seketika atau separuh jalan sahaja. Kemudian pecah berkecai umpama kapal dipukul badai. Berselerak dan bertaburan. Apataha lagi kalau dah dikurniakan anak. Anak-anak akan jadi mangsa keadaan.

"Mampukah akau menerima suamiku nanti sepenuh hatiku? Mampukah aku menyediakan seluruh ruang isi hatiku ini buat suamiku itu? Bahagiakah aku bila bersamanya nanti?" Bertalu-talu persoalan demi persoalan menerjah benak fikiranku. Aku rasa amat tertekan dengan keadaan ini. Bukan aku tak fakir pasal rumah tangga, tapi aku masih belum bersedia untuk melaluinya.

"Ya Allah, bantulah aku dalam membuat keputusan. Tunjukkanlah aku jalan penyelesaian. Janganlah Engkau biarkan aku sendirian dalam menentukan masa depan hidupku." "Ya Allah, aku benar-benar tersepit antara kehendak orang tuaku dan persaan hatiku sendiri. Kiranya ia baik buatku, maka berilah aku redha dalam menerimanya wahai Tuhan. Indahnya kuperhatikan suasana kamarku. Aku sendiri yang menghiasinya. Kamar malam pertamaku bersama seorang lelaki yang bergelar suami. Kamar yang akan menjadi saksi bisu bila mana aku menyerahkan khidmatku pada seorang suami. Kegusaran dan sedikit gentar mula bertandang dalam sanubari. Aku rasa takut sendirian untuk melalui keindahan malam pertama ini. Bagaimanakah akan melayani suamiku nanti? Ketukan pada pintu bilik membuatkan hatiku bertambah gusar. Dari tadi lagi aku hanya duduk di birai katil.

"Masuklah, pintu tak berkunci." Aku bersuara perlahan. Aku pasti, itu adalah suamiku. Dia masuk, kemudian menutup pintu bilik kami dengan perlahan. Dia kemudiannya menghampiri dan duduk di sisiku. " Kenapa asyik termenung aje ni? Sayang tak gembirakah bersama abang?" Aku tak menyangka soalan itu yang diajukan oleh suamiku tatkala ketakutan di malam pertama begitu membanjiri jiwaku.

Aku hanya mampu mengeleng-ngeleng. Aku sendiri tak tahu apa jawapan yang terlebih baik untuk soalan suamiku itu. "Habistu apa yang sayang menungkan ni?" Ana takut bang!" Itulah aku rasa jawapan yang tepat bagi menjawab soalannya. Dia memelukku erat sambil membelai rambutku. " Apa yang nak ditakutkan? Abangkan ada. Abang akan Bantu dan tolong sayang. Kita sama-sama bina keluarga kita." Pujuk suamiku. " Ana takut Ana tak mampu untuk menjalankan tugas sebagai isteri abang. Ana banyak kelemahan bang. Ana takut nanti Ana akan mengecewakan abang. Ana takut.." Aku tidak sempat untuk meneruskan kata-kataku kerana suamiku telah meletakkan telunjuknya di bibirku tanda tidak membenarkan aku menghabiskan bicaraku. Terkebil-kebil mataku memandangnya.

" Sayang, abang terima sayang sebagai isteri abang seadanya. Abang terima segala kelebihan dan kekurangan yang ada pada sayang. Usahlah sayang risaukan pasal itu. Ok sayang! " Bisiknya. Aku memeluknya syahdu di atas penerimaannya terhadapku.

" Sayang, abang nak mandi kejap. Badan ni dah rasa macam melekit." Aku bangun membuka almari pakaian dan mencapai sehelai tuala serta kain pelikat. Kuhulurkan kepadanya dengan penuh kasih sayang. Dia tersenyum kepadaku dan mencium pipiku sebelum berlalu ke bilik air. Kemudian aku terdengar siraman air terjun ke lantai. Malam berark perlahan. Langit kelihatan gelap pekat tanpa bulan dan bintang. Mungkin sekejap lagi hujan akan mencurah, membasahi bumi yang sudah beberapa hari merindui titis air untuk membajai ketandusannya.

"Ayah, mak! Ana dah buat keputusan." Beritahuku sewaktu kami sedang berehat di beranda rumah pada suatu hari.

Ayah yang sedang membaca akhbar dan emak yang sedang menyulam tiba-tiba memandangku serentak, kemudian berpaling sesama sendiri. " Keputusan tentang apa?" Soal ayah inginkan kepastian. Mungkin mereka tertanya-tanya keputusan apakah yang telah kubuat. " Pasal peminangan tu." Ujarku. Ayah dan emak kembali merenungku. Mereka memberikan perhatian kepada apa yang bakal aku beritahu. Keputusan yang telah kubuat setelah berfikir baik dan buruknya. Keputusan yang bakal menentukan masa depan arah perjalanan hidupku. " Kiranya ini takdir Tuhan, maka Ana redha dengan jodoh yang ayah dan emak pilih." Terasa pilu sekali hatiku sewaktu meluahkannya. Ada sedikit titis jernih jatuh ke riba. Aku mengesatnya dengan hujung jari.

Emak bangun dan memelukku. Aku tidak tahu apakah ertinya pelukan emak itu. Pelukan gembira oleh kerana aku menerima pilihan mereka atau pelukan untuk menenangkan jiwaku yang sedang berkecamuk dan sedih ini? Hanya emak yang tahu hakikatnya. " Syukurlah, moga Ana bahagia nanti." Ucap ayah padaku. Aku terpaksa berkorban demi untuk melihat senyuman di bibir ayah dan emak walaupun hatiku sendiri terpaksa menangis. Tapi adalah terlebih baik bagiku memakan hatiku sendiri daripada memakan hati orang tua ku.

"Nanti mak kenalkan dia pada Ana." Ujar emak sambil tersenyum kerana keputusanku memihak kepada mereka. " Tak payahlah mak. Kenalkan pada Ana di hari perkahwinan tu aje." Aku rasa lebih baik demikian kerana selepas ijab Kabul aku sudah tidak punyai pilihan lain selain daripada menerima walaupun dengan terpaksa lelaki pilihan ayah dan emak ku itu sebagai suamiku. Aku tidak mahu pertemuan sebelum ijab kabul nanti akan menyebabkan aku berbelah bagi dengan keputusan yang telah aku buat.

" Kenapa pula macam tu? Kan lebih baik kalau Ana berkenalan dahulu dengannya." Ayah mempersoalkan keputusanku itu. " Ana telah memenuhi kehendak ayah dan mak dengan menerima pilihan ayah dan mak. Tak bolehkah ayah dan mak memenuhi permintaan dan kehendak Ana pula?" Aku berlalu meninggalkan mereka dalam keadaan tercengang dengan permintaan ku itu. Aku siapkan kamar tidur seadanya. Aku letakkan pakaian persalinan buat suamiku di atas katil. Aku menunggunya keluar dari bilik air. Aku sendiri telah bersiap-siap menukar pakaian malam menanti suamiku itu dengan penuh debaran. Kedengaran pintu bilik air dibuka. Dia keluar sambil tersenyum ke arahku.

" Sayang, boleh tak ambilkan abang segelas air. Dahagalah." Pintanya sambil mengelap-ngelap badannya dengan tuala di tangan. " Baik bang. Bang, ni baju abang." Ujarku sambil bangun untuk ke dapur. Sewaktu aku keluar, lampu di ruang tamu semuanya telah dipadamkan. Kulihat jam dah dekat pukul 1 pagi. " Patutlah." Bisik hatiku. Aku meneruskan langkahku ke dapur dalam smar-samar cahaya bilik yang masih lagi terpasang. Kupenuhkan labu sayung dengan air masak dan ku capai sebiji gelas. Aku membawa kedua-duanya menuju ke bilik.

Suasana malam agak sunyi. Tiada bunyi cengkerik atau cacing tanah. Cuma kat luar sana kadang-kadang langit kelihatan cerah diterangi cahaya kilat memancar. Malam yang pekat bakal mencurahkan hujan. Sewaktu aku melangkah masuk ke bilik, kelihatan suamiku sedang khusyuk berdoa atas sejadah. Mulutnya terkumat kamit tanpa kutahu butir bicaranya. Kutuangkan air kedalam gelas dan kuletakkan atas meja menanti suamiku selesai berdoa. Kemudian dia bangun menghampiriku. Aku menghulurkan gelas air kepadanya.

"Bang...."Seruku. "Ada apa sayang?" Soalnya apabila melihat aku tersipu-sipu kearahnya. "Malam ni abang nak.....nak....."Agak segan untuk kuteruskan pertanyaan itu. Suamiku masih lagi menanti persoalan yang kutanya... " Nak apa sayang?" Soalnya lagi sambil tersenyum. "Ah..abang ni..."Aku malu sendirian apabila melihat suamiku seolah-olah dapat membaca fikiranku. "Ya, abang nak sayang layan abang malam ni. Boleh tak?" Bisiknya ketelingaku.
Aku hanya mampu mengangguk-angguk tanda bersedia untuk melayani segala kehendak dan kemahuannya. Aku cuba untuk mempersiapkan diri sebagai seorang isteri yang mampu menyediakan dan memenuhi segala keperluan dan kemahuan suamiku itu.

"Assalamualaikum, wahai pintu rahmat!" Bisik suamiku. " Waalaikumussalam wahai tuan pemilik yang mulia." Jawabku. Malam yang gelap kehitaman itu kulaluinya bertemankan seorang lelaki yang telah kuserahkan kepadanya seluruh jiwa dan ragaku ke dalam tangannya. Dia berhak segala-galanya keatasku. Sebagai seorang isteri, aku mesti sentiasa patuh kepada segala arahan dan suruhannya selagi mana ia tidak bercanggah dengan ketetapan Tuhan dan Rasul.

Pertama kali kulalui dalam hidupku, malam bersama seorang lelaki yang telah dihalalkan aku keatasnya. Aku umpama lading dan suamiku itu adalah peladang. Ia berhak mendatangiku mengikut sekehendak hatinya. Aku telah membaca beberapa buah buku tentang alam perkahwinan, rumahtangga dan tanggungjawab seorang isteri apabila aku menerima pilihan emak dan abah terhadapku. Aku cuba untuk memperaktikkannya selagi aku termampu untuk melakukannya. Aku cuba menjadi yang terbaik bagi suamiku. Aku ingin suamiku bahagia bersamaku. Aku ingin menjadi permaisuri yang bertahta di hati dan jiwanya sepanjang usia hayatnya.

Rasulullah bersabda: "Sebaik-baik isteri itu ialah yang dapat menenangkan kamu apabila kamu melihatnya dan taat kepada kamu apabila kamu perintah dan memelihara dirinya dan menjaga hartamu apabila kamu tiada." Rasulullah bersabda: "Setiap wanita itu adalah pengurus sebuah rumahtangga suaminya dan akan ditanyakan hal urusan itu." Rasulullah bersabda: "Isteri yang mulia ini merupakan sesuatu yang terbaik di antara segala yang bermanfaat di dunia."
Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya wanita yang baik itu adalah wanita yang beranak, besar cintanya, pemegang rahsia, berjiwa kesatria terhadap keluarganya, patuh terhadap suaminya, pesolek bagi suaminya, menjaga diri terhadap lelaki lain, taat kepada ucapan suaminya dan perintahnya, dan apabila bersendirian dengan suaminya, dia pasrahkan dirinya kepada kehendak suaminya itu." Sesungguhnya perkahwinan ataupun rumahtangga itu bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh atau yang boleh dipermain-mainkan. Ia adalah suatu ikatan yang menghalalkan yang haram sebelumnya. Ia memerlukan persefahaman, tolak ansur, saling mempercayai, tolong menolong, kasih mengasihi seikhlas hati dan sebagainya. Tanpa itu semua, mana bisa dua jiwa yang berlainan sifat dan sikap mampu mengharungi sebuah kehidupan yang penuh dengan dugaan ini bersama-sama. Ia amat mustahil sekali.
Maka seharusnya kita perlu mempersiapkan diri sebelum memasuki gerbang perkahwinan dengan pelbagai ilmu. Ilmu kekeluargaan, ilmu keibu bapaan, psikologi kanak-kanak dan sebagainya. Jangan cuba untuk menghampirinya selagi mana kita belum benar-benar bersedia untuk menghadapinya. Jangan kita fikirkan tentang nafsu semata-mata. Fikirkan sama tentang tanggungjawab yang bakal kita pikul nanti. Tanggungjawab sebagai seorang suami ataupun isteri, tanggungjawab sebagai seorang bapa ataupun ibu. Mampukah kita semua memenuhi atau menunaikan tanggungjawab dan tuntutan itu. Kita pastinya akan dipersoalkan tentang pertanggungjawaban itu. Sama ada di dunia mahaupun di hadapan Tuhan nanti. Kerana tanggungjawab itu adalah amanah yang perlu ditunaikan oleh setiap orang.

Bunyi batuk yang berlarutan menyebabkan aku tersedar dari tidur istimewaku malam ini. Sewaktu aku membuka mata, aku lihat suamiku sedang bersimpuh diatas sejadah. Dia mengurut-urut dadanya menahan batuk. Aku bingkas bangun, turun dari katil dan menghampirinya. "Abang tak apa-apa?" Soalku risau dengan keadaannya. Aku mula risau, takut-takut suamiku itu mempunyai penyakit-penyakit tertentu yang tidak aku ketahui. "Abang ok je. Mungkin sejuk sikit kot."Jelasnya. Mungkin juga. Hawa dinihari itu sejuk sebab hujan masih lagi bergerimis selepas mencurah lebat semalam. "Pergilah mandi, ayah dan semua orang sedang menunggu kita untuk berjemaah di luar tu." Arah suamiku sambil tersenyum merenungku dengan pajama itu. Aku malu sendirian bila mata suamiku menyorot memerhati seluruh tubuhku itu. "Nakallah abang ni." Aku bangun mencapai tuala dan terus ke bilik air untuk mandi. Aku masih lagi terdengar batuk-batuk dari luar.

Ayah mahu suamiku mengimami solat subuh itu, tapi suamiku menolak dengan alasan dia batuk-batuk dan tak berapa sihat. Namun ayah masih berkeras, maka terpaksalah dia menjadi imam. Kesian aku melihatnya. Bacaannya tidak selancar semalam. Banyak tersangkut dan terpaksa berhenti atau mengulanginya kerana asyik batuk-batuk sahaja. Aku mula risau lagi dengan keadaan begitu. Selepas beriwirid pendek, dia membacakan doa dengan perlahan tapi masih boleh didengari oleh semua ahli keluargaku. Aku lihat muka suamiku agak kepucatan. "Kenapa ni bang?" Soalku sewaktu bersalaman dengannya. " Entahlah, abang rasa kurang sihat sikit pagi ni.." "Zul sakit ke?" Tanya ayah. "Takdelah, cuma kurang sihat sikit. Mungkin sebab cuaca kot."Jawabnya. "Elok makan ubat, nanti takut melarat pulak." Sampuk mak. "Nanti Ana ambilkan ubat." Aku bangun ke dapur untuk mengambil ubat dalam rak ubat.

Ubat-ubatan asas sentiasa tersimpan dalm rak ubat di rumahku. Ini bagi memudahkan bagi tujuan rawatan segera kalau ada apa-apa berlaku. Aku ambil sebotol ubat batuk dan segelas air. Suamiku sudah masuk ke bilik. Batuknya agak berkurangan sedikit dari tadi. Mungkin betul juga ia ada kaitan dengan keadaan cuaca yang sejuk. Dia menghirup sirap batuk yang kusuapkan. "Terima kasih." Ucapnya perlahan. Aku angguk. "Abang berehatlah." Ujarku sambil membaringkan badannya ke atas tilam. "Abang minta maaf kerana menyusahkan sayang." " Kenapa pula abang cakap macam tu. Sikit pun Ana tak rasa susah." "Abang tahu sayang susah hati tengok abang begini. Sepatutnya hari pertama begini, abang kena membahagiakan sayang. Tapi abang minta maaf sebab keadaan abang tak mengizinkan." "Dahla tu bang. Ana isteri abang. Ana sentiasa bersedia berkhidmat untuk abang tanpa sedikit pun rasa susah."Pujukku walaupun sebenarnya hatiku memang runsing dengan keadaannya. "Walau apapun yang berlaku, abang tetap sayang dan cintakan saying. Sayanglah satu-satunya buah hati abang." Sambung suamiku tanpa menghiraukan nasihatku supaya dia berehat saja. Entah kenapa tiba-tiba sahaja hatiku dilanda kesedihan. Entah darimana ia berputik. "Abang minta maaf atas segalanya. Sayang maafkan abang yea" "Abang nak tidur dulu. Mengantuk rasanya." Ujarnya perlahan. "Abang tidurlah." Aku menarik selimut untuk menyelimutinya. Aku menciumi dahinya. Sekejap sahaja dia terlena selepas mulutnya terkumat kamit membacakan sesuatu.
Aku memerhatikan suamiku buat seketika. Tidurnya kelihatan tenang dengan susunan nafas yang teratur. Aku suka melihat wajahnya yang memberikan ketenangan buatku. Wajahnya yang agak bersih dihiasi dengan kumis dan jambang yang nipis dan terjaga. Aku berdoa dan berharap agar kurniaan Tuhan ini akan berkekalan bersamaku hingga ke akhir hayat.

Namun segala-galanya telah ditentukan Tuhan. Hidup, mati, rezeki, baik dan buruk seseorang hamba itu telah ditentukan Tuhan semenjak ia berada dalam kandungan ibunya lagi. Maka aku sebagai seorang hamba yang lemah terpaksa menerima segala kehendaknya dengan redha dan tenang. Siapa tahu, rupa-rupanya itulah hari pertama dan terakhir aku bersama suamiku yang baru aku kenali itu. Aku hanya mengenalinya seketika sahaja, namun dia telah meninggalkan aku buat selama-lamanya. Aku belum sempat untuk menjalankan tugasan sebagai isteri dengan sepenuhnya. Apalagi yang dapat aku lakukan. Patutlah dia asyik memohon maaf dariku.

Sewaktu aku ingin mengejutkannya untuk bersarapan, berkali-kali aku cuba memanggil namanya. Namun dia masih tak menjawab. Aku menggoncang tubuhnya, tetapi tetap tak ada respon. Aku sentuh tangannya, sejuk. Aku memeriksa nadi dan denyutan jantungnya. Senyap! Air mataku terus je mengalir tanpa dapat ditahan lagi. Menangisi kepergian seorang suami. Aku tersedu-sedu sewaktu semua ahli keluarga masuk kebilik untuk melihat apa yang berlaku setelah terlalu lama aku cuba mengejutkan suamiku itu. Tapi rupanya hanyalah jasad yang terbujur kaku.

" Sudahlah Ana, bersyukurlah kerana masih ada lagi pusaka tinggalannya buat Ana." Pujuk emak.

Aku hanya mampu tersenyum dengan pujukan emak itu sambil memandang wajah seorang bayi lelaki yang sedang nyenyak tidur disebelahku. Itulah takdir Tuhan, malam pertama yang telah membuahkan hasil. Walaupun hanya pertama, tapi itulah panglima yang menang dalam pertarungan bagi menduduki rahimku ini. Hari ini, zuriat suamiku itu telah menjengok dunia ini.

Satu-satunya pusaka yang tidak ada nilai buatku selain sebuah rumah yang telah diwasiatkan oleh suamiku buatku.

Ya Allah, tempatkanlah rohnya bersama golongan yang soleh. Ya Allah, rahmatilah anakku ini. Jadikanlah dia umpama bapanya yang sentiasa taat kepadamu. Jadikanlah ia berjasa kepada perjuangan dalam menegakkan agamamu. Jadikanlah ia sebagai permata yang membahagiakan aku dan seluruh keluargaku. Amin..

Untuk Khidmat Fotografi Perkahwinan
Lawat

Maksimumkan Peranan Jurugambar Anda

Oleh: Hasnuddin Abu Samah

Sudah menjadi kemestian ketika ini, setiap majlis perkahwinan pasti memerlukan perkhidmatan jurugambar untuk merakam detik-detik manis hari bahagia pasangan mempelai. Biasanya, jurugambar profesional akan diupah bagi melaksanakan tugas penting ini. Harganya boleh mencecah ribuan ringgit. Persoalannya, apakah yang anda perlu lakukan untuk mendapat hasil yang setimpal dengan wang yang telah anda belanjakan?

Pertama sekali, anda perlu memilih jurugambar yang terbaik berdasarkan bajet dan citarasa anda. Dapatkan seberapa banyak maklumat yang boleh supaya anda benar-benar faham tentang apa yang bakal anda perolehi. Nyatakan kehendak anda kepada jurugambar dan pastikan beliau menulis apa yang telah dipersetujui bersama. Perbincangan awal ini amat penting kerana ianya akan memberi kesan kepada seluruh proses selepas ini.

Baiklah, sekarang anda telah mendapatkan jurugambar yang terbaik pilihan anda. Beliau semestinya seorang yang profesional dan anda yakin akan kebolehannya. Jurugambar anda sepatutnya tahu apakah tugas-tugas beliau. Tetapi, dengan sedikit peranan dari pihak anda sendiri, anda boleh memaksimumkan peranan jurugambar anda.

Sepanjang pengalaman saya sebagai jurugambar perkahwinan, saya mengakui sehandal mana pun seseorang jurugambar itu, beliau tidak akan dapat menghasilkan gambar yang hebat tanpa adanya beberapa faktor penting yang lain.Contohnya, cuba bayangkan bagaimana agaknya hasil gambar yang dirakam sekiranya sepanjang majlis perkahwinan, pengantin perempuan kelihatan kelam kabut dan bermasam muka?

Rancang dengan teliti aturcara majlis perkahwinan anda. Beri ruang masa yang selesa untuk setiap acara. Dapatkan tenaga kerja yang mencukupi bagi menguruskan majlis anda dari peranan kecil hinggalah yang besar. Lebih baik lagi jika anda boleh melantik seorang pembantu untuk berurusan dengan jurugambar. Maklumkan dengan terperinci tentang aturcara majlis kepada jurugambar anda. Dengan ini, majlis anda akan berjalan lancar dan gambar majlis anda akan dapat dirakam dengan sempurna.

Pasangan pengantin perlu mendapat rehat yang cukup sebelum majlis perkahwinan. Serahkan segala urusan untuk majlis perkahwinan kepada orang yang anda percayai. Anda cuma ada satu peranan penting pada majlis perkahwinan anda, iaitu – bergembira!

Masa terbaik untuk merakam gambar potret adalah sejurus selepas pengantin siap dimekap. Anda perlu mengatur masa supaya jurugambar sempat merakam gambar potret anda sebelum sesuatu acara bermula. Biasanya, untuk acara resepsi di hotel, pasangan pengantin akan kesuntukan masa untuk merakam gambar potret kerana akan digesa turun ke dewan. Alasan yang akan diberi ialah, “tetamu kehormat sedang menunggu” atau “lepas bersanding nanti kita bergambar”. Tetapi, sebagai jurugambar yang menjalankan tugas, saya akan menjelaskan, “harap tetamu kehormat boleh menunggu 5 minit kerana anda raja sehari perlu bergambar untuk kenangan seumur hidup, dan jika gambar potret anda dirakam selepas tamat majlis, anda akan kelihatan letih dan sudah hilang seri.” Sayang sekali jika saat penting dan ceria ini tidak dapat dirakam. Matlamat jurugambar hanyalah untuk menghasilkan gambar yang terbaik untuk anda.

Ada pengantin yang kekok apabila berhadapan dengan kamera. Anda boleh jadikan diri anda lebih cantik di dalam gambar dengan sedikit latihan. Lihat wajah anda di dalam cermin dan berlatihlah untuk senyum. Senyum yang bagaimanakah akan membuatkan anda kelihatan lebih cantik. Bayangkan diri anda adalah seorang model. Dapatkan ekspresi wajah yang pelbagai untuk anda lakukan ketika bergambar nanti. Anda juga perlu berlatih untuk ‘posing’. Rujuk majalah untuk mendapat idea. Namun, yang paling penting sekali, anda hendaklah menjadi diri anda sendiri dan berasa selesa dengan penampilan anda.

Setelah majlis anda selesai, biasanya jurugambar akan mengambil masa di antara satu hingga 2 minggu untuk menyiapkannya. Ini termasuklah proses suntingan, cetakan, penyusunan dalam album dan sebagainya. Kerja ini perlu dilakukan dengan teliti bagi menjamin kualiti yang baik. Oleh itu, janganlah menggesa supaya gambar anda disiapkan lebih cepat dari masa yang dijanjikan kerana ianya akan memberi kesan kepada kualiti gambar anda.

Untuk khidmat Fotografi Perkahwinan
Lawat

Menaikkan Seri Wajah Pengantin

Adalah menjadi keutamaan mana-mana pengantin perempuan untuk kelihatan menarik dan jelita di hari perkahwinan mereka. Samada melalui teknik andaman dan solekan yang betul mahu pun dengan berpakaian pengantin yang indah dan menawan, semuanya akan diambil-kira oleh mana-mana raja sehari bagi memastikan dirinya menjadi tarikan utama di hari berbahagia tersebut.

Masih terdapat amalan petua orang-orang lama bagi menaikkan seri wajah pengantin di hari bersejarah tersebut. Caranya cukup mudah dan ringkas.

Caranya :-44 hari sebelum tarikh perkahwinan, amalkan diri dengan memakan sekuntum bunga mawar , kelopak demi kelopak setiap hari. Di mulakan dengan segelas air putih dan kalimah bismillah serta selawat ke atas Nabi, anda boleh memakan sekuntum bunga mawar itu bagi setiap hari sehinggalah menjelang hari bersejarah anda. Walaupun bunga mawar agak mahal, tetapi hasilnya adalah berbaloi. Cubalah !

30 hari sebelum hari perkahwinan - Daun sirih mempunyai pelbagai khasiat yang tersendiri. Ambil segenggam daun sirih yang agak besar saiznya dan rebuskan ia di dalam air putih buat beberapa minit sehingga warna air agak berubah kehijauan. Gunakan air rebusan tersebut untuk mencuci wajah anda setiap hari. Biarkan di muka seketika, kemudian bilaskan dengan air sejuk. Ia mampu mengelakkan jerawat atau ruam-ruam kecil di muka sekaligus menaikkan seri wajah. Air rebusan ini juga berfungsi sebagai "Feminine Hygiene Cleanser" yang sangat baik. Cubalah.

Akhir sekali, amalkan petua-petua tersebut berserta amalan-amalan moden yang lain. Pastikan anda memulakan perawatan wajah di salun-salun kecantikan selewat-lewatnya 3 bulan sebelum tarikh perkahwinan anda. Ia akan menunjukkan hasil yang sangat memuaskan. Pastikan juga anda memilih warna baju persandingan yang bersesuaian dengan wajah anda bagi menaikkan seri wajah anda. Contohnya, Wardina mungkin cantik berbaju ungu di hari perkahwinannya, tetapi anda mungkin sebaliknya ! Jadi, buat pilihan yang bijak.


Untuk khidmat Fotografi Perkahwinan
Lawat
http://zoomer.fotopages.com/

Checklist Bakal Pengantin

Senarai Semak Bagi Bakal Pengantin Kaum Melayu

Berikut adalah senarai semak untuk proses merisik, majlis pertunangan serta hari pernikahan. Sila cetak dan tandakan perkara yang telah anda lakukan.

MERISIK:
Pihak lelaki yang ingin melamar dan merisik si gadis pilihan, mereka perlulah memastikan perkara-perkara berikut di bawa bersama. Antaranya ialah:
•Cincin belah rotan. (cincin tanda)
•Wang tanda (hantaran)
•Baju sepasang atau kain
•Buah-buahan
•Kuih-muih
•Menentukan siapakah yang akan menjadi wakil anda. (ibu bapa atau ibu bapa saudara)
•Wakil pihak lelaki tersebut perlulah bertanya kepada ibu bapa si perempuan sama ada anak gadisnya itu telah mempunyai teman atau tidak.
•Jika tidak, maka wakil pihak lelaki perlulah menyatakan hajat untuk melamar si gadis.
•Jika ibu bapa si gadis telah bersetuju, maka cincin tanda dan lain-lain barang iringan seperti wang tanda, kain, buah-buahan dan kuih-muih diberikan.
•Jika mereka menerima barang-barang yang diberikan, maka secara tidak langsung, si gadis telahpun bersetuju untuk melayari hidup bersama lelaki tersebut.
•Wakil pihak lelaki berbincang tentang wang hantaran.
•Menetapkan hari untuk melangsungkan majlis pertunangan.

PADA HARI PERTUNANGAN:
•Cincin berlian
•Sirih junjung
•Lain-lain hantaran (separuh dari wang hantaran, sepasang baju, buah-buahan, kasut, kek, dan lain-lain) bergantung kepada apa yang telah anda rancangkan.
•Wakil pihak lelaki (ibu atau ibu saudara) yang akan menyarungkan cincin kepada si gadis.

MALAM BERINAI:
•Minta bantuan dari ahli keluarga dan sanak saudara untuk menginaikan anda.
•Jika ingin mengenakan henna, pastikan anda telah menempah mereka yang pakar dalam hal sedemikian sebulan sebelum majlis malam berinai anda.
Berikut adalah senarai semak untuk majlis perkahwinan atau persandingan. Sebaik sahaja kedua-dua belah keluarga telah menetapkan hari persandingan, maka perkara-perkara di bawah boleh dijadikan landasan dalam memastikan kelancaran majlis perkahwinan anda.

LAPAN – ENAM BULAN SEBELUM perkahwinan:
Bakal pengantin lelaki dan perempuan perlulah berbincang terlebih dahulu tentang beberapa perkara seperti berikut:

Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
•Berbincang hal-hal perkahwinan (adat perkahwinan) dengan ibu bapa dari kedua-dua belah pihak bakal pengantin.
•Menentukan perbelanjaan yang akan dikeluarkan oleh kedua-dua belah pihak pengantin untuk majlis perkahwinan tersebut.
•Menentukan konsep majlis perkahwinan (hantaran, pelamin, bilik tidur dan lain-lain hiasan) yang anda ingini.(Majlis di hotel atau taman.)
•Rujuk direktori perkhidmatan perkahwinan (jurusolek, koleksi pakaian pengantin, bunga, kad jemputan perkahwinan dan lain-lain) di majalah, internet, buku atau melalui rakan-rakan yang telah berkahwin bagi mendapatkan gambaran awal.
•Mengenalpasti baju pengantin serta tetapkan bilangan pakaian persalinan yang diingini. (bagi yang bertudung, pastikan anda memilih pakaian yang disediakan sekali dengan pakaiannya)
•Tempah jurusolek/juruandam untuk majlis perkahwinan anda
•Mencari rumah baru, sama ada sewa atau membelinya.
•Kenalpasti Jabatan Agama Islam, Pejabat Agama Islam Daerah atau badan-badan Islam (swasta) yang berdekatan dengan kawasan anda, untuk mendaftar kursus pra perkahwinan.

Bagi pengantin lelaki:
•Semak semula jumlah sebenar wang hantaran yang dikenakan, (jika berlaku perubahan pada wang hantaran yang telah ditetapkan pada hari pertunangan anda) dan lain-lain hantaran.

LIMA BULAN SEBELUM perkahwinan:

Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
•Menghadiri kursus pra perkahwinan di tempat dan pada tarikh yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam, Pejabat Agama Islam Daerah atau badan-badan Islam swasta. (Sila klik di sini untuk alamat Jabatan Agama Islam seluruh Malaysia)
•Menempah tok kadi untuk majlis pernikahan anda. (Sila klik di sini untuk Senarai Kadi Seluruh Malaysia)
•Menempah videografi atau jurufoto untuk merakamkan detik-detik indah majlis perkahwinan anda.
•Membeli cincin kahwin.
•Tentukan sama ada anda ingin memasak sendiri atau menggunakan khidmat katerer. Jika ingin menggunakan khidmat katerer bincangkankan menu hidangan untuk majlis anda, serta harga yang ditawarkan.
•Menyediakan senarai tetamu yang akan dijemput
•Menempah sekumpulan pemuzik dan DJ (jika perlu)
•Lakukan rawatan muka, badan dan rambut.
•Jika ingin berbulan madu (dalam negara atau luar negara), tentukan tempat dan budjet untuknya. Segerakan bayaran pendahuluan bagi mengelakkan tempat ditempah orang lain.

TIGA BULAN SEBELUM perkahwinan:

Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
•Memilih dan mencetak kad jemputan kahwin.
•Mengesahkan tempahan di hotel atau taman termasuk jumlah meja dan kerusi, menu dan sebagainya.
•Melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik atau hospital.
•Rawatan intensif muka, badan dan rambut.
Bagi pengantin lelaki:
•Memaklumkan kepada saudara-mara tentang hari berlangsungnya majlis pernikahan anda.
•Mengenalpasti beberapa orang (saudara mara atau jiran-jiran) yang akan menyertai rombongan pihak lelaki.

Bagi pengantin perempuan:
•Kenalpasti dua orang saksi untuk majlis pernikahan anda.
•Bagi wanita yang kematian bapa, sila pastikan siapa wali nikah anda. (sila klik di sini untuk Panduan Perkahwinan – 8. Wali Nikah) Jika anda tidak mempunyai wali nikah, sila dapatkan wali hakim, dari mana-mana Jabatan Agama Islam untuk menikahkan anda. (Sila klik di sini untuk alamat Jabatan Agama Islam Seluruh Malaysia)

DUA BULAN SEBELUM perkahwinan:
Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
•Membeli barang kemas
•Tentukan pengapit anda, jika perlu carikan baju yang bersesuaian untuk pengapit anda.
•Menghantar kad jemputan kepada para tetamu yang ingin dijemput.
•Merujuk kepada Jabatan Agama Islam dan Pejabat Islam Daerah untuk proses mendaftar pernikahan anda. (Sila klik di sini untuk senarai Pendaftar Nikah dan Penolong Pendaftar Nikah seluruh Malaysia)

TIGA MINGGU SEBELUM perkahwinan:
Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
•Pastikan pakaian pengantin anda telah siap dan ambil pakaian tersebut jika anda telah berpuashati.
•Pastikan ada seseorang yang akan menjaga barang-barang anda semasa majlis perkahwinan berlangsung.

Bagi pengantin perempuan:
•Pilih gaya rambut yang anda ingini semasa majlis perkahwinan anda (bagi yang bertudung, pastikan gaya tudung yang akan dikenakan pada majlis perkahwinan anda nanti).

TIGA – SATU HARI SEBELUM perkahwinan:

Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
•Menghias pelamin, bilik tidur pengantin, membuat sirih junjung dan lain-lain hantaran.
•Sediakan seterika, papan seterika, cermin, jarum dan benang, bagi memudahkan anda jika berlaku kecemasan.
•Jika perlu ingatkan tetamu anda tentang majlis perkahwinan anda melalui telefon.
•Hubungi jurufoto, juruvideo dan lain-lain (kompang, silat dan sebagainya) anda dan minta mereka datang awal pada majlis tersebut.
•Sediakan (packing) barang-barang yang perlu dibawa ke majlis tersebut. Elakkan melakukannya di saat-saat akhir kerana dikhuatiri ada barang yang tertinggal.
•Mandi air panas bersama aromaterapi untuk kesegaran badan.
•Tidur awal dan bersedia untuk menghadapi hari bahagia anda.

Bagi pengantin lelaki:
•Tentukan siapa yang akan menjadi jurucakap bagi rombongan pihak lelaki dan tuan ruamh pada majlis pernikahan.

Bagi pengantin perempuan:
•Hubungi hair dresser anda dan minta mereka datang awal pada majlis tersebut.
•Kenalpasti siapakah yang akan ditugaskan untuk menyambut tetamu pada hari perkahwinan anda. (begitu juga bagi majlis di pihak lelaki)

PADA HARI PERNIKAHAN:

Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
•Pastikan anda membawa kad pengenalan, gambar, dan apa-apa dokuman yang diperlukan semasa majlis ijab dan kabul.

Bagi pengantin lelaki
•Pastikan anda telah menyediakan wang mas kahwin pada hari pernikahan anda.
•Pastikan wang hantaran (terutamanya wang tunai) diamanahkan kepada orang yang boleh dipercayai.
•Pastikan anda telah menyediakan wang (upah) untuk diberikan kepada tok kadi.
•Cincin / gelang tangan / rantai.
•Sirih junjung dan lain-lain hantaran.
•Pihak lelaki dan pengiring mestilah datang lebih awal sekurang-kurangnya setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan.
•Pastikan mereka yang menjadi saksi dan wali turut ada pada majlis pernikahan tersebut.
•Pastikan tok kadi yang akan menikahkan anda, telah diberitahu lebih awal tentang hari pernikahan anda. (Sila klik di sini untuk senarai Kadi seluruh Malaysia)
•Pada malam majlis pernikahan, majlis persalinan baju (jika perlu) diadakan. Pakaian yang biasa dipakai ialah baju yang menjadi kebanggan sesebuah negeri seperti baju Sari, Cheongsam, Minangkabau, Jawa, Mendaling dan lain-lain.

PADA HARI PERKAHWINAN:

Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
•Ambil sarapan seawal tujuh pagi, bagi mengelakkan anda lapar, mengantuk dan tidak bermaya.
•Jangan takut untuk menghadapi hari bahagia anda. Bertenang dan sentiasa senyum.
•Pastikan majlis anda berjalan lancar seperti yang telah dirancangkan.
Bagi pengantin lelaki:
•Pastikan anda datang tepat pada masanya atau sekurang-kurangnya sepuluh minit awal dari waktu yang telah ditetapkan
•Pastikan kesemua hantaran telah dibawa termasuk sirih junjung
Bagi pengantin perempuan:
•Pastikan anda telah bersiap satu setengah jam lebih awal sebelum pengantin lelaki sampai ke rumah anda.

TIGA HARI SELEPAS perkahwinan:
•Melawat keluarga dan sanak saudara kedua-dua pihak.


Untuk khidmat Fotografi Perkahwinan
Lawat

Tentang Perkahwinan

Salam Sejahtera buat semua

Blog ini bakal diisi dengan segala macam informasi, tips dan juga panduan yang diperlukan oleh pasangan-pasangan yang bakal melangsungkan majlis perkahwinan mereka. Saya akan cuba mengisi ruang ini dengan segala perkara yang diperlukan oleh pengantin, dari persediaan majlis, kepada panduan mencari juruandam, kepada penyediaan jamuan, juga panduan mencari jurugambar yang baik, termasuk panduan untuk mengukuhkan ekonomi keluarga. Panduan ini sebahagiannya hasil tulisan saya sendiri, dan sebahagiannya akan diambil dari pelbagai sumber. Semoga blog ini dapat memberi anda semua serba sedikit informasi, yang mungkin boleh kita jadikan panduan untuk kesejahteraan kita bersama. Selamat Membaca!

Wassalam