Google
 

Untuk Apakah Anda Membayar Jurugambar Anda


Apabila anda mengupah seorang jurugambar untuk merakamkan gambar majlis perkahwinan anda, beliau akan mengenakan sejumlah harga tertentu bagi perkhidmatannya. Sekiranya anda tidak memahami akan proses yang terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan, anda tentu akan menganggap harga yang dikenakan adalah tidak setimpal. Berikut saya senaraikan 5 kos utama yang sebenarnya terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan:

1) Kos Peralatan Kamera
Untuk menghasilkan gambar perkahwinan yang baik memerlukan kamera yang berkualiti. Satu set kamera digital yang baik berharga dalam lingkungan RM 10,000. Selain dari kos pembelian, kos pemeliharaan juga diambil kira. Set kamera ini perlu dinaiktaraf, diservis dan diperbaiki jika berlaku kerosakan. Peralatan digital mengalami susut nilai yang lebih cepat berbanding peralatan kamera analog. Dengan mengambil kira semua kos inilah jurugambar mengenakan harga tertentu untuk perkhidmatan mereka. Ini bermakna, selain mengupah jurugambar, anda juga sebenarnya membayar kos ‘sewa’ peralatan mereka.

2) Kemahiran Jurugambar
Untuk menjadi seorang jurugambar yang baik, seseorang itu perlulah mempunyai kemahiran fotografi yang tinggi. Selain dari itu, jurugambar juga perlu mempunyai kemahiran lain seperti kreativiti, pandai berkomunikasi, mempunyai citarasa yang tinggi dan kemahiran lain. Kemahiran ini hanya dapat dikuasai dengan pengetahuan, latihan dan pengalaman. Ini bermakna, semakin tinggi kemahiran seseorang jurugambar itu, semakin tinggi pula harga yang akan dikenakan untuk perkhidmatannya.

3) Masa Perkhidmatan
Jurugambar adalah seorang profesional. Ini bermakna, beliau hanya akan mendapat bayaran dari kerja perkhidmatan yang dilakukan. Seseorang jurugambar cuma boleh merakam gambar untuk satu majlis sahaja pada sesuatu masa. Ini bermaksud, masa adalah satu faktor yang amat bernilai kepada seseorang jurugambar. Dengan itu, jurugambar mengenakan harga untuk perkhidmatannya berdasarkan berapa lama masa yang perlu diambil untuk sesuatu tugasan.

4) Perkhidmatan Selepas Rakaman
Setelah jurugambar selesai merakam gambar untuk majlis perkahwinan anda, tugas beliau sebenarnya tidak habis di situ sahaja. Beliau perlu menyunting kesemua gambar yang telah dirakam dengan memilih gambar yang terbaik sahaja. Sekiranya perlu, gambar yang terpilih akan diperbaiki lagi dari segi kecerahan, kontras, warna, ketajaman, komposisi dan sebagainya. Seterusnya, barulah gambar anda tadi akan dicetak. Selepas cetakan gambar siap, jurugambar akan meneliti kembali kualiti cetakan gambar. Gambar yang tidak sempurna akan dicetak kembali agar mencapai tahap kualiti yang dikehendaki. Akhir sekali, kesemua gambar-gambar tersebut akan disusun ke dalam album sebelum diserahkan kepada pelanggan.

5) Kos Material
Selain dari kos perkhidmatan yang disebutkan di atas, kos material juga terlibat dalam menentukan harga perkhidmatan seseorang jurugambar. Antara kos material yang terlibat ialah kos pengangkutan, cetakan gambar, album, bil telefon, kos promosi serta lain-lain kos peniagaan.

Dengan mengetahui kos sebenar yang terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan, diharap anda akan lebih menghargai peranan seorang jurugambar walaupun anda terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk membayar perkhidmatannya. Walau apa pun, sememangnya berbaloi untuk membelanjakan wang kepada sesuatu yang boleh anda tatap sehingga ke akhir hayat. Tambahan pula, ianya adalah gambar hari yang paling bahagia dalam hidup anda.

-Oleh: Hasnuddin Abu Samah

Untuk khidmat Fotografi Perkahwinan
Lawat

Solat Istikharah - Mengapa tunggu mimpi?


Baru-baru ini seorang duda datang mengadu. Dengan nada kecewa beliau menjelaskan bahawa pinangannya baru sahaja ditolak. Menurutnya, wanita yang ingin dijadikan pasangan hidupnya itu agak berusia tetapi masih lagi cantik, berpendidikan agama dan masih lagi dalam kategori `anak dara'.
Walau bagaimanapun perangainya agak sedikit pelik. Sebelum ini, bukannya tidak ada rombongan yang cuba untuk meminangnya, tetapi kesemuanya ditolak.
Alasannya mudah sahaja, tidak mendapat petunjuk Allah katanya. Beliau sudah mengerjakan solat istikharah, namun tidak mendapat alamat dalam mimpinya itu.
Persoalan yang ingin diperbincangkan di sini, apakah mimpi manusia biasa boleh dijadikan sandaran atau boleh menjadi isyarat kepada jawapan yang dicari? Benarkah solat sunat istikharah boleh menjadi medium atau pengantara untuk menentukan sesuatu keputusan seperti menentukan jodoh seseorang atau baik buruk takdirnya?

Istikharah sebenarnya berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud meminta pilihan yang baik. Biasanya solat istikharah dilakukan apabila seseorang itu ingin melakukan sesuatu perkara tetapi dia tidak pasti apakah perbuatan atau tindakannya itu membawa kebaikan ataupun tidak kepada dirinya.
Maka untuk itu, dituntut baginya supaya melakukan solat sunat istikharah. Pelaksanaannya sama dengan solat-solat sunat yang lain. Dalam sebuah hadis daripada Jabir bin Abdullah berkata, Rasulullah s.a.w. pernah mengajar kami cara untuk meminta petunjuk Allah Taala dalam beberapa urusan yang penting.
Baginda bersabda, Apabila salah seorang di antara kamu menghendaki pekerjaan, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian ia berdoa: Ya Allah, sesungguhnya aku minta petunjuk yang baik dengan pengetahuan-Mu, dan aku minta diberi kekuatan dengan kekuatan-Mu. Aku minta kemurahan-Mu yang luas, kerana sesungguhnya Engkau yang Maha Kuasa sedang aku tiada berkuasa. Engkau mengetahui sedang aku tidak tahu, dan Engkau Maha Mengetahui yang ghaib.
Sesungguhnya manusia diciptakan oleh Allah Taala dalam keadaan lemah. Kelemahan yang ada pada manusia itu menyebabkan apa jua rancangan dan tindakan yang kita lakukan kadang-kadang sudah diyakini baiknya, tetapi belum tentu baik bagi Allah Taala. Begitu juga apa yang kita rancang dan kita lakukan sudah diyakini kesan buruknya, tetapi belum tentu buruk menurut penilaian Allah. Dalam hal ini kita harus mengakui bahawa daya fikir dan akal manusia sangat terbatas. Untuk itu kita dianjurkan beristikharah.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Kamu diwajibkan berperang, sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi (pula) kamu suka kepada sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu. Allah jualah yang mengetahui, sedang kamu tidak mengetahuinya. (Al-Baqarah: 216)

Sebenarnya amal ibadah yang mengandungi unsur-unsur tilikan dan bergantung kepada mimpi semata-mata bukanlah daripada ajaran Islam. Malah Nabi s.a.w. tidak pernah mengajar umatnya agar mencerap petunjuk Allah menerusi mimpi. Fenomena menilik nasib atau jodoh melalui mimpi di kalangan masyarakat kita, lebih-lebih lagi bagi sesetengah wanita perlu diperbetulkan semula. Amalan ini dikhuatiri boleh menyebabkan berlakunya dosa syirik kepada Allah s.w.t.
Hal ini kerana manusia bukanlah tuhan yang boleh meramal apa yang berlaku. Perbuatan meramal atau menilik mimpi adalah amalan dan budaya jahiliah yang sangat ditegah oleh Islam. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Wahai orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib adalah semata-mata amalan kotor daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Al-Maidah: 90)

Perlu dijelaskan di sini bahawa tidak semua mimpi manusia itu benar. Mimpi manusia biasa pada kebiasaannya adalah mainan tidur yang berpunca daripada pengaruh iblis dan syaitan yang datang mengganggu.
Kita tidak boleh menyamakan antara mimpi manusia biasa dengan mimpi para nabi dan rasul-rasul. Mimpi bagi nabi dan para rasul adalah wahyu dari Allah Taala. Kisah Nabi Ibrahim a.s. sebagai contoh, telah diperintah oleh Allah untuk menyembelih anaknya, Ismail a.s. yang datang melalui mimpi baginda. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
Maka apabila anak itu sampai (kepada peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi, bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai bapaku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah ayah akan mendapatiku daripada orang-orang yang sabar. (Al-Soffat: 102)

Kesimpulannya mimpi kita itu tidak mengandungi kebenaran mutlak. Kemungkinan kebenaran yang terlihat itu lebih berdasarkan kepada kebetulan sahaja atau unsur-unsur daripada mainan syaitan yang bertujuan untuk menyesatkan manusia. Itulah sebabnya, jangan menyandarkan segala keputusan kepada mimpi. Sebaliknya berfikirlah dengan lebih rasional.
Dalam kes di atas, seandainya pertimbangan akal diletakkan pada tempat yang sewajarnya, maka memadai dengan sedikit soal selidik dan mengkaji latar belakangnya sudah dapat menentukan ciri-ciri pasangan yang menepati kehendak Islam. Maka ketika itu, dia tidak perlu lagi beristikharah dan terus menerus menunggu mimpi. Atau sekiranya beliau berada dalam situasi antara dua pilihan, yang satu berakhlak mulia sedang yang kedua kurang baik agama dan akhlaknya, maka pilihannya ketika itu sewajarnya kepada yang pertama. Kaedah pertimbangan dan penilaian seperti itu tidak perlu melalui solat sunat istikharah.
Mimpi itu bukanlah satu-satunya jalan yang memimpin manusia kepada petunjuk Allah s.w.t. Kadang-kadang petunjuk Allah Taala datang melalui buah-buah iman yang masuk menyerap ke dalam hati sehingga menerbitkan keyakinan dan rasa hati yang kuat melalui keyakinan untuk memilih salah satu di antara beberapa pilihan.
Jika kita mempunyai kecenderungan untuk memilih salah satunya, maka itu merupakan isyarat kuat daripada Allah. Pilihlah dulu terimalah seadanya, kemudian solatlah istikharah dan ketika itu pohonlah kepada Allah Taala moga pilihan kita tersebut tepat dan terbaik yang boleh membawa kebaikan dunia dan akhirat. Hal ini diperjelaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam sebuah doa yang bermaksud:
Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa pekerjaan ini, baik bagi agama dan kehidupanku dan hari kemudianku, maka berikanlah ia kepadaku, dan mudahkanlah ia bagiku, dan berkatilah ia kepadaku. Jika Engkau mengetahui bahawa pekerjaan ini buruk bagiku, buruk bagi agamaku, penghidupanku dan hari kemudianku, maka jauhkanlah aku daripadanya, dan berikanlah bagiku kebaikan di mana pun juga adanya, kemudian jadikanlah aku orang yang redha dengan pemberian itu. - (Riwayat Bukhari)

Artikel dari website Pengantin.com.my

Untuk khidmat Fotografi Perkahwinan
Lawat
http://zoomer.fotopages.com/

SELAMAT HARI BAPA

Lagu Istimewa Buat Seorang Ayah

ANDA INGIN MELAMAR?


LAMARAN Seringkali lamaran dibuat secara tradisional, melutut dan mempersembahkan sebentuk cincin ikatan hati, kenapa tidak acara seistimewa itu dilakukan dengan cara tersendiri yang memikat hati dimana akan diperingati buat selamanya.

Kami ingin mengemukakan beberapa cadangan untuk saudara-saudara semua, semoga langkah berani ini akan dapat memikat gadis idaman anda untuk selamanya.

Sukan. Sekiranya buah hati anda ialah seorang atlit ataupun seorang yang gemarkan aktiviti lasak, apa kata sekiranya anda melamar ketika sessi akhir "rock climbing" dimana anda berdua berada di puncak. Atau mungkin ketika latihan payung terjun atau skuba? Atau mungkin ketika berada didalam gua atau hutan untuk aktiviti "trekking"? AMARAN: Pastikan anda melamar di tempat yang terang dan tidak merbahaya untuk memudahkan mencari cincin pertunangan, yang mana telah anda belanjakan kesemua gaji sebulan anda. Dikhuatiri anda akan menjatuhkannya dilereng bukit atau didalam gua. Berhati-hati.

Video. Rakamkan lamaran anda dan cadangkan kepada si dia agar menonton video di rumah. Tukarkan cerita tersebut itu kpada video lamaran anda dan tontonlah bersamanya. AMARAN: Bersedialah dan jangan terperanjat bila si dia mula menjerit dan melompat kegembiraan.

Panggung wayang. Ingin melakukan sesuatu yang agak gila-gila? Tayangkan lamaran anda di skrin wayang! Buat satu iklan tentang lamaran anda sebelum cerita sebenar bermula. Ini merupakan perkara menarik untuk diceritakan kepada anak-anak anda tentang hari bersejarah itu. AMARAN: Jangan sekali-kali anda keluar membeli bertih jagung sebelum iklan anda ditayangkan.

Penerbangan. Ini merupakan satu cara yang agak menonjol, dari segi perasaan cinta anda kepadanya dan juga keberanian anda. Ajaklah si dia pergi bercuti menaiki kapal terbang. Anda perlu mendapatkan kerjasama dari kapten kapal terbang tersebut sebelum menggunakan interkom untuk melafazkan lamaran anda. AMARAN: Pastikan si dia tidak mendengar walkman semasa itu, kecuali anda mahu keberanian anda menjadi suatu usaha yang sia-sia.

Untuk khidmat Fotografi Perkahwinan
Lawat