Google
 

Maksimumkan Peranan Jurugambar Anda

Oleh: Hasnuddin Abu Samah

Sudah menjadi kemestian ketika ini, setiap majlis perkahwinan pasti memerlukan perkhidmatan jurugambar untuk merakam detik-detik manis hari bahagia pasangan mempelai. Biasanya, jurugambar profesional akan diupah bagi melaksanakan tugas penting ini. Harganya boleh mencecah ribuan ringgit. Persoalannya, apakah yang anda perlu lakukan untuk mendapat hasil yang setimpal dengan wang yang telah anda belanjakan?

Pertama sekali, anda perlu memilih jurugambar yang terbaik berdasarkan bajet dan citarasa anda. Dapatkan seberapa banyak maklumat yang boleh supaya anda benar-benar faham tentang apa yang bakal anda perolehi. Nyatakan kehendak anda kepada jurugambar dan pastikan beliau menulis apa yang telah dipersetujui bersama. Perbincangan awal ini amat penting kerana ianya akan memberi kesan kepada seluruh proses selepas ini.

Baiklah, sekarang anda telah mendapatkan jurugambar yang terbaik pilihan anda. Beliau semestinya seorang yang profesional dan anda yakin akan kebolehannya. Jurugambar anda sepatutnya tahu apakah tugas-tugas beliau. Tetapi, dengan sedikit peranan dari pihak anda sendiri, anda boleh memaksimumkan peranan jurugambar anda.

Sepanjang pengalaman saya sebagai jurugambar perkahwinan, saya mengakui sehandal mana pun seseorang jurugambar itu, beliau tidak akan dapat menghasilkan gambar yang hebat tanpa adanya beberapa faktor penting yang lain.Contohnya, cuba bayangkan bagaimana agaknya hasil gambar yang dirakam sekiranya sepanjang majlis perkahwinan, pengantin perempuan kelihatan kelam kabut dan bermasam muka?

Rancang dengan teliti aturcara majlis perkahwinan anda. Beri ruang masa yang selesa untuk setiap acara. Dapatkan tenaga kerja yang mencukupi bagi menguruskan majlis anda dari peranan kecil hinggalah yang besar. Lebih baik lagi jika anda boleh melantik seorang pembantu untuk berurusan dengan jurugambar. Maklumkan dengan terperinci tentang aturcara majlis kepada jurugambar anda. Dengan ini, majlis anda akan berjalan lancar dan gambar majlis anda akan dapat dirakam dengan sempurna.

Pasangan pengantin perlu mendapat rehat yang cukup sebelum majlis perkahwinan. Serahkan segala urusan untuk majlis perkahwinan kepada orang yang anda percayai. Anda cuma ada satu peranan penting pada majlis perkahwinan anda, iaitu – bergembira!

Masa terbaik untuk merakam gambar potret adalah sejurus selepas pengantin siap dimekap. Anda perlu mengatur masa supaya jurugambar sempat merakam gambar potret anda sebelum sesuatu acara bermula. Biasanya, untuk acara resepsi di hotel, pasangan pengantin akan kesuntukan masa untuk merakam gambar potret kerana akan digesa turun ke dewan. Alasan yang akan diberi ialah, “tetamu kehormat sedang menunggu” atau “lepas bersanding nanti kita bergambar”. Tetapi, sebagai jurugambar yang menjalankan tugas, saya akan menjelaskan, “harap tetamu kehormat boleh menunggu 5 minit kerana anda raja sehari perlu bergambar untuk kenangan seumur hidup, dan jika gambar potret anda dirakam selepas tamat majlis, anda akan kelihatan letih dan sudah hilang seri.” Sayang sekali jika saat penting dan ceria ini tidak dapat dirakam. Matlamat jurugambar hanyalah untuk menghasilkan gambar yang terbaik untuk anda.

Ada pengantin yang kekok apabila berhadapan dengan kamera. Anda boleh jadikan diri anda lebih cantik di dalam gambar dengan sedikit latihan. Lihat wajah anda di dalam cermin dan berlatihlah untuk senyum. Senyum yang bagaimanakah akan membuatkan anda kelihatan lebih cantik. Bayangkan diri anda adalah seorang model. Dapatkan ekspresi wajah yang pelbagai untuk anda lakukan ketika bergambar nanti. Anda juga perlu berlatih untuk ‘posing’. Rujuk majalah untuk mendapat idea. Namun, yang paling penting sekali, anda hendaklah menjadi diri anda sendiri dan berasa selesa dengan penampilan anda.

Setelah majlis anda selesai, biasanya jurugambar akan mengambil masa di antara satu hingga 2 minggu untuk menyiapkannya. Ini termasuklah proses suntingan, cetakan, penyusunan dalam album dan sebagainya. Kerja ini perlu dilakukan dengan teliti bagi menjamin kualiti yang baik. Oleh itu, janganlah menggesa supaya gambar anda disiapkan lebih cepat dari masa yang dijanjikan kerana ianya akan memberi kesan kepada kualiti gambar anda.

Untuk khidmat Fotografi Perkahwinan
Lawat

No comments: