Google
 

10 Soalan Yang Perlu Ditanya Kepada Jurugambar atau Juruvideo Anda


Soalan Yang Anda Perlu Tanya Kepada Jurugambar Atau Juruvideo Anda

-Seperti yang tersiar di dalam majalah Pesona Pengantin
-Oleh: Hasnuddin Abu Samah

Soalan 1
Berapa lamakah pengalaman anda dalam bidang fotografi perkahwinan?
Pengalaman adalah faktor penting bagi mengukur tahap kemahiran seseorang jurugambar. Jurugambar yang kurang berpengalaman biasanya mengenakan harga yang lebih rendah.

Soalan 2
Adakah anda merakam gambar perkahwinan secara sambilan atau sepenuh masa?
Soalan ini adalah bagi menganggar tahap komitmen seseorang jurugambar. Biasanya, jurugambar yang melakukan tugas merakam gambar perkahwinan secara sepenuh masa akan memberikan komitmen yang tinggi memandangkan ini adalah satu-satunya punca pendapatan mereka. Namun, keadaan sebaliknya mungkin juga berlaku.

Soalan 3
Adakah anda menggunakan peralatan digital atau analog?
Teknologi terkini memperlihatkan penggunaan peralatan fotografi dan video digital. Tetapi, penggunaan sistem analog juga mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Terpulang kepada citarasa anda.

Soalan 4
Bolehkah saya lihat contoh hasil kerja anda?
Ini adalah antara soalan yang paling penting untuk memilih jurugambar atau juruvideo. Dengan melihat contoh gambar beliau, anda mendapat gambaran yang lebih jelas tentang apa yang akan anda perolehi. Cuma, pastikan gambar yang ditunjukkan adalah hasil kerja beliau yang tulen.

Soalan 5
Apakah gaya fotografi atau videografi anda?
Setiap karya jurugambar atau juruvideo mempunyai gaya mereka yang tersendiri. Begitu juga dengan pasangan pengantin yang mempunyai citarasa yang berbeza terhadap gambar. Pilih jurugambar yang boleh merakam gambar mengikut citarasa anda.

Soalan 6
Berapakah harga yang anda kenakan untuk perkhidmatan anda?
Harga yang dikenakan perlulah sesuai dengan bajet anda. Nilai samada harga yang dikenakan berbaloi dengan perkhidmatan yang akan anda perolehi. Sekiranya perlu, runding harga dengan jurugambar anda.

Soalan 7
Adakah apa-apa syarat lain atau bayaran tambahan yang akan dikenakan?
Tanya soalan ini untuk mengelakkan salah faham dan ketidakpuasan hati di kemudian hari. Ini kerana setiap orang jurugambar mempunyai syarat kerja dan syarat harga yang tersendiri.

Soalan 8
Berapa lamakah masa yang diambil untuk menyiapkan gambar?
Nyatakan kepada jurugambar sekiranya anda amat memerlukan gambar anda disiapkan segera. Ini bagi membolehkan jurugambar anda merancang masa beliau sendiri. Sekiranya tidak perlu, beri masa yang mencukupi kepada jurugambar anda untuk menyiapkan gambar anda tanpa perlu tergesa-gesa.

Soalan 9
Dalam bentuk apakah gambar siap akan diberi?
Gambar foto biasanya dicetak ke saiz 4R dan gambar video akan diberi dalam format VCD atau DVD. Maklumkan kepada jurugambar atau juruvideo anda sekiranya anda memerlukan bentuk lain.

Soalan 10
Adakah negatif atau imej asal akan diberi?
Imej asal foto biasanya adalah dalam bentuk negatif bagi kamera analog dan fail jpeg bagi kamera digital. Manakala imej asal video adalah dalam bentuk pita video. Imej asal ini penting sekiranya anda ingin mencetak atau menyunting kembali gambar perkahwinan anda di kemudian hari. Ada jurugambar yang memberi imej asal secara percuma dan ada yang akan mengenakan bayaran.

Untuk khidmat Fotografi Perkahwinan
Lawat
http://zoomer.fotopages.com/

2 comments:

From 4 of us said...

thank u 4 ur tips..

i memang take this consideration while choosing my photographer..

Thanks..

abg ajam said...

No prob. Rajin2 la singgah di sini... more tip will be coming