Google
 

MERTUA - Sayanginya atau...


Komunikasi
Sering kita mendengar keluhan pasangan muda mengenai masalah bersama mertua. Memang tidak dinafikan bahawa masalah mungkin akan berlaku antara mertua & menantu.

Adakah ini berpunca dari masalah berkomunikasi?
Adakah kita mempunyai masalah penyesuaian diri & suasana?
Mungkin kita tidak tahu mengambil hati mertua?
Mungkin kerana sudah jadi mertua kita ambil leka dan tidak tahu melayan mertua?
Mungkinkah ini cuma suatu cabaran & dugaan?

Yang sebenarnya, sebagaimana kita boleh & berjaya mengambil hati pasangan kita, kita juga boleh mengambil & menjaga hati mertua. Kita cuma perlu berikan sedikit masa dan usah berkecil hati dan belajar bersenyum walaupun terasa kecewa.

Tumpukan perhatian perasaan cinta dan kasih sayang pada pasangan kita. Buatlah sedaya-upaya untuk mendapat kepercayaan mertua. Setiap percakapan & perbuatan yang hendak dilakukan haruslah difikirkan sekejap sebelum dilakukan. Kita hendaklah dapat mengagak reaksi mertua sebelum percakapan & perbuatan dilakukan.

Kesilapan
Layani mertua seperti melayani ibu-bapa sendiri. - Ini mungkin adalah satu faktor yang kurang tepat.

Kesilapan kita ialah kita selalu membuat andaian bahawa layanan kepada mertua adalah sama seperti layanan yang diberikan kepada ibu-bapa kita. Harus diingat bahawa ibu-bapa kita sudah masak dengan perangai kita, jadi ibu-bapa kita mungkin tidak begitu kisah sangat.

Seperti teman yang sensitif, mertua harus dilayani dengan cara yang tersendiri supaya tidaklah mereka merajuk atau tidak senang dengan kehadiran kita. Bos di tempat kerja mungkin telah mengetahui keupayaan kita, jadi dengan mertua, kita hendaklah menunjuk keupayaan kita kepada mereka menerusi percakapan & perbuatan kita.

Adanya masalah antara kita dengan mertua mungkin adalah kerana jarak usia dan cara pemikiran tidak sama. Kerana usia mereka, jadi susahlah untuk mereka mengubah cara mereka. Atau mungkinkah generasi kita memang kurang kesabaran?

Kita yang muda haruslah bersabar, mengalah & bertimbang-rasa.

Teguran & Pertanyaan
Kadang-kala, dengan berdiam-diri, sesuatu masalah itu dapat juga diatasi. Dalam sesuatu masalah, kita tidak semestinya memberi buah fikiran. Yang penting, jika kita bersetuju dengan pendapat mereka, hendaklah kita menyuarakan sokongan kita terhadap mereka. Jika terdapat yang salah tetapi tidak mempunyai kesan sangat, sebaiknya kita berdiam sahaja.

Sekiranya ada perkara yang kita berkeras tidak bersetuju dan ia akan memberikan kesan kepada banyak perkara, beritahulah kepada pasangan kita supaya pasangan kita yang membuat percakapan kepada ibu-bapa dia sendiri.

Harus diingati bahawa, teguran & pertanyaan ada kelainannya. Sekiranya kita ternampak atau terdengar sesuatu yang tidak betul, janganlah ditegur kerana teguran tidak selalu diterima dengan hati yang positif. Sebaiknya, lakukannya dengan sebuah pertanyaan. Dengan bertanya, ia seolah memberi hormat kepada mereka dalam menangani sesuatu masalah.

Emosi
Sekiranya kita ingin melepaskan geram dengan pasangan kita, lakukannya didalam bilik dan bukan didepan mertua. Emosi kita harus dijaga. Kalau didepan pasangan kita, boleh lah kita menunjukkan emosi kita tetapi kalau didepan mertua, ia perlu dikawal. Biarlah seperti pijak semut tidak mati.

Pergaulan dengan mertua adalah seperti satu seni yang perlu dipertingkatkan. Apa-apa sahaja yang boleh digunakan, gunakanlah untuk mempertingkatkan hubungan antara kita dan mertua kita.

Rapatkan Hubungan
Seringlah berhubung dengan mertua dan bertanya khabar. Sekiranya kita tidak berkesempatan untuk berjumpa, cuba luangkan masa untuk menelefon.

Memberi tanda ingatan menerusi hadiah adalah salah satu untuk mempereratkan hubungan bersama mertua. Tidak lupa untuk menziarahi ahli keluarga mertua, sekiranya kita menerima khabar bahawa mereka sedang sakit.

Akan adanya undangan dari pihak mertua, dari itu, berusahalah untuk memenuhinya. Ini juga dapat mempereratkan hubungan sesama keluarga.

Iringilah doa yang ikhlas untuk kesejahtaraan mertua sebagai penghargaan terhadap mereka. Bantuan kepada mereka sekiranya kita berkemampuan akan menunjukan kasih sayang kita terhadap mertua.


Untuk khidmat Fotografi Perkahwinan
Lawat
http://zoomer.fotopages.com/

No comments: